Ahad, 23 September 2012

Travelog Haj 1432 suraukini.com - Sarapan pagi pertama di Al Madinah Al Munawwarah

Tenang - Pintu masuk Masjid Nabawi

Madinah Al Munawwarah
Selepas solat subuh Jumaat
30 September 2011 / 02 Zulkaedah 1432

Pagi ini suasana di Masjid Nabawi masih tenang. Tidak ramai jemaah haji Malaysia yang kelihatan. SK difahamkan sekitar 800 hingga 900 orang jemaah haji dari Malaysia baru tiba melalui penerbangan KT 1 dan KT 2.

Tenang betul pagi itu.

Selepas 30 minit selesai menunaikan solat Subuh bersama imam  Syeikh Solah Al Bidr, kelihatan jemaah mula berpusu - pusu keluar dari masjid.

Di luar Masjid. Di dataran Masjid Nabawi , SK terserempak dengan 7 - 8 orang lelaki Pakistan sedang asyik menjual pakaian, jubah, sejadah dan beg tangan dengan harga murah. Ramai juga jemaah yang mengerumuni mereka. Memilih jubah, tawar menawar untuk mendapatkan harga terbaik.

Suasana yang tenang sebelum subuh tadi kini mulai hiruk. Hingar macam bunyi di pasar . Semua peniaga - peniaga Pakistan ini meninggikan suara untuk menarik perhatian jemaah yang baru keluar dari masjid.

"Murah! Murah! 20 riyal, murah Murah!"

Mereka berdiri atas kerusi. Kelihatan mereka sangat berhati - hati ketika berurus niaga. Kalau ada baladiah (Penguatkuasa Majlis Bandaran) mereka akan cabut lari. Takut ditangkap. Mereka berniaga tanpa permit.

Video yang sempat SK rakam untuk dikongsi tonton



Peniaga ni pun agak cuak bila melihat SK merakam wajah mereka,

Lebih kurang 10 minit kelihatan sebahagian dari jemaah mula bersurai . Sebahagian kembali ke hotel untuk bersarapan pagi. Sebahagian yang lain bergerak menuju ke kedai - kedai makan untuk menikmati sarapan pagi.
Ada banyak kedai makan di sekitar Masjid Nabawi. Kebanyakan restoran menyediakan makanan ala arab yang dikendalikan oleh pekerja - pekerja Pakistan. Ramai juga pekerja - pekerja Indonesia  yang bekerja di restoran sekitar masjid Nabawi ini.
Untuk jemaah haji yang pergi ke Makkah dengan menggunakan khidmat Pakej  Tabung Haji , anda tidak perlu risau kerana sarapan pagi anda memang sudah disediakan. Selepas solat subuh anda boleh terus pulang ke hotel untuk bersarapan.

Semuanya disediakan.
Tetapi bagi jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan Muassasah pula, sarapan pagi anda tidak disediakan. Pihak muassah hanya menyediakan makan tengahari dan makan malam sahaja. Anda perlu bergerak sendiri mencari restoran dan kedai makan untuk sarapan pagi.
Jangan risau, kerana banyak restoran di sekeliling Masjid Nabawi. Dan jangan risau kerana kebanyakan pekerja di restoran ini mahir berbahasa Melayu.

Oleh kerana SK ke Mekah dengan menggunakan Perkhidmatan Muassasah, SK terpaksa bergerak sendiri mencari makan pagi tu.

Untuk mencari makanan sarapan ala melayu seperti nasi lemak, bihun, roti canai mungkin agak sukar di Madinah. Tidak seperti di Makkah. Di Makkah sangat mudah untuk mendapatkan makanan melayu pelbagai citarasa.

Kebanyakan restoran dan kedai makan menyediakan sarapan pagi ala Arab. SK terserempak dengan beberapa orang jemaah dari Malaysia yang ingin membeli sarapan pagi. Mereka keliru untuk memilih menu. :). Keliru tak tahu nak pilih menu apa, dan keliru nak komunikasi guna bahasa apa..:)
Syai bil halib dan syawarma dajaj adalah menu sarapan pertama SK di Madinah pagi itu. Syai bil halib bermaksud Teh Susu. Manakala Syawarma dajjaj ialah Kebab ayam.  Melepas gian . Lama tak pekena syawarma dajjaj original ( versi arab).

Pagi itu SK pekena dua cawan Syai bil halib dan dua biji sywarma dajaj. Kenyang menyandar!!

Rasa syai bil halib  berbeza berbanding dengan  teh tarik Malaysia. Syai bil halib arab ada campuran sedikit gula dan susu cair. Harganya SR1 sahaja.

Rombongan jemaah haji dari Syiria - Sempoi je! bersarapan di dataran masjid.

Ini adalah suasana rakaman Solat Maghrib pada Jumaat 30 September 2011. Solat Maghrib dipimpin oleh syeikh Ale Syeikh









0 ulasan: