Isnin, 23 Disember 2013

Menziarahi Maqam Maulana Jalaluddin Ar Rumi di Konya Turki



Konya - Sebuah pekan di tengah Turki

Perjalanan dari Bandar Pamukkale menuju ke Cappadocia mengambil masa yang agak panjang. Dua belas jam perjalanan dengan menaiki bas. Dalam perjalanan kami sempat singgah di sebuah pekan yang dikenali sebagai Pekan Konya. Sebuah pekan lama, yang dulunya pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Rom. Jarak bandar Konya ini dari Pamukkale lebih kurang 495 km.

Suhu mencecah 2 darjah Celcius ketika kami tiba di pekan kuno ini



Mevlana Celaleddin Rumi Pengasas Tariqat  Maulawiyah atau Jalaliyyah


Perkarangan makam Mevlana Celaleddin Ar Rumi di  Pekan Konya

Di pekan ini terletaknya makam Mevlana Celaleddin Rumi (Maulana Jalaluddin Ar Rumi). Seorang ulama sufi yang terkenal di kurun ke 13 Masihi. Beliau merupakan pengasas Tariqat Maulawiyah atau Jalaliyyah.

Mevlana Celaleddin Rumi dilahirkan di Pekan Balkh, Afghanistan pada Tahun 604 H  (30 September 1207). Nama penuh beliau ialah  Jalaluddin Muhammad bin Muhammad Al-Balkhi Al-Qunuwi. Di kalangan masyarakat Turki  beliau dikenali sebagai Rumi. Beliau digelar Ar Rumi kerana sebahagian besar hidupnya dihabiskan di kota Konya ini. (Konya pernah diperintah oleh Kerajaan Rom.

Ketika rombongan kami sampai di Pekan Konya masyarakat setempat sedang menyambut ulangtahun kematian Maulana Jalaluddin yang ke 740 (Tahun) . Mengikut catatan sejarah Syeikh Ar Rumi meninggal pada 5 Jamadil Akhir 672 H bersamaan 16 Disember 1273.

Satu kebetulan yang menarik!!

Kebetulan kami berada di pekan ini pada 17 Disember 2013, iaitu sehari selepas 740 tahun kematian Sheikh Jalaluddin Ar Rumi. Satu kebetulan yang menarik buat kami! Suasana di bandar Konya sangat sesak dengan kenderaan dan orang ramai.  Punca kesesakan ini adalah kerana banyak jalan dan laluan utama ditutup untuk memberi laluan kepada rombongan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang turut hadir ke Majlis Ulangtahun bersejarah ini.

Agak teruja juga melihat suasana sambutan yang sangat meriah. Teruja kerana hari ini hari bersejarah rakyat Turki mengenang ulama sufi tersohor. Dan teruja juga kerana kebetulan Recep Tayyip Erdogan berada di tempat yang sama dan hari yang sama di tempat kami berada.


Nama Maulana Jalaluddin Ar Rumi adalah nama besar di sini. Ketika menziarahi maqamnya, keaadaan terlalu sesak. Berjalan berhimpit - himpit  di hadapan makamnya hingga sukar untuk melangkah. Manusia terlalu ramai berasak - asak. Ramai yang duduk bertafakur, berzikir di sekitar makam. Kawalan sangat ketat. Pengunjung tidak dibenarkan merakam gambar. atau video

Bagaimanapun pengujung masih boleh bergambar di luar kawasan maqam. Ini adalah salah satu gambar yang sempat SK rakam dari luar Mevlana Museum



Di bawah kubah hijau inilah terletak maqam Syeikh Jaluddin Ar Rumi



Menurut catatan sejarah bapa Maulana Jalaluddin bernama Bahauddin Walad Muhammad bin Husein, adalah seorang ulama besar bermazhab Hanafi. Oleh kerana bapanya mempunyai penguasaan ilmu agama, beliau telah mendapat gelaran Sulthanul Ulama (raja ulama).

Keluarga Bahauddin hidup berpindah - pindah dari suatu negara ke negara lain. Mereka pernah menetap di Sinabur (Iran timur laut). Dari Sinabur pindah ke Baghdad, Makkah, Malattya (Turki), Laranda (Iran tenggara) dan terakhir menetap di Konya, Turki.


Ketika Bahauddin berada di Konya, pembesarnya yang bernama Alauddin Kaiqubad, telah mengangkat beliau sebagai penasihat, dan juga telah melantik beliau sebagai pemimpin di sebuah Pusat Pendidikan Agama yang didirikan di pekan ini.

Di Pekan Konya ini juga Sheikh Bahauddin meninggal dunia ketika berusia 24 tahun.

Maulana Jalaluddin sempat berguru dengan bapanya yang alim dan warak, Beliau juga sempat berguru kepada Syeikh Burhanuddin, Muhaqqiq At-Tirmidzi, yang merupakan sahabat dan pengganti ayahnya yang  memimpin Pusat Pendidikan Agama. Rumi juga menimba ilmu di Syam (Syiria). Beliau kembali ke Konya pada 634 H, dan mula  mengajar di Pusat Pendidikan Agama.

Setelah Burhanuddin meninggal dunia, Maulana Rumi telah menggantikan tempatnya. Memimpin Pusat Pendidikan Agama.  Rumi mula dikenali dan menjadi guru agama yang sangat popular di Konya. Dengan pengetahuan agamanya yang luas, di samping sebagai guru, beliau juga menjadi da'i dan mempunyai kepakaran dalam hukum hakam agama. Ketika itu di Konya banyak tokoh ulama berkumpul. Tidak hairan jika Konya kemudian menjadi pusat ilmu dan tempat berkumpul para ulama dari berbagai penjuru dunia.

Kesufian  Rumi bermula ketika ia sudah berumur  48 tahun. Guru beliau yang paling masyhur dalam bidang sufi ialah Syeikh Syamsuddin Alias Syamsi Tabriz.

Bersama Syeikh Hisamuddin pula, Rumi mengembangkan Tarikat Maulawiya atau Jalaliyah. Tarikat ini di Barat dikenali dengan nama The Whirling Dervishes (Darwisy yang Berputar - putar). Nama itu muncul kerana para penganut Tarikat ini melakukan tarian berputar - putar, yang diiringi oleh gendang dan seruling, dalam zikir mereka untuk mencapai nikmat beruzlah.

Jalauddin Ar Rumi juga terkenal dengan kepakarannya berpuisi. Kemahiran puitisnya itu telah digunakan oleh beliau sebagai luahan rasa dan pemikirannya menuntut rindu dan cinta Allah S.W.T. Nilai yang terdapat di dalam puisi - puisinya amat tinggi dan segar. Ramai sasterawan terpesona dengan puisi karangannya. Begitu juga pengkaji tasauf, menjumpai pelbagai mutiara berharga di dalam puisi yang digubahnya. Maulana Ar Rumi diceritakan akan menari rindu (gaya sufi) sambil mendendangkan puisi - puisi terbaiknya.

Gaya tarian ini diwarisi sehingga kini dan diberi nama WHIRLING DERVISHES.

Kami sempat menikmati dan menghayati tarian sufi The Whirling Dervishes secara live ketika berada di Cappadocia.

Satu pengalaman baru yang menarik.


The Whirling Dervishes. Tarian ahli sufi.

Di Malaysia berzikir sambil menari pernah menjadi isu yang dibahaskan beberapa bulan yang lalu. Dan isu ini hilang apabila akhbar harian tidak memberi liputan susulan. Lagipun ianya bukanlah isu besar semasa yang perlu diperdebatkan.

Bagi Maulana Jalaluddin Ar Rumi beliau berkeyakinan muzik boleh membantu seseorang itu khusyuk dalam zikir mengingati Allah SWT. Dalam bukunya Maulana ada menyebut: "Music is the nutrition of the souls of the servants of the Lord; Since in music there is hope of reaching God."

Admin pun tidak mahu memanjangkan  kisah "The Whirling Dervish" kerana ianya sukar difahami sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia. Mustahil dengan hanya membaca dan menonton tariannya dalam tempoh satu jam kita dapat memahaminya.





K   R   I   S   T   A   L      T   A   S   N   I   M      E   N   T   E   R   P   R   I   S   E
(No Pendaftaran SSM 002118796-U)

Kami Menawarkan Perkhidmatan Upah Haji, Wakaf  Telaga di Kemboja dan Bangladesh,
Korban dan Aqiqah di Kemboja

Kristal Tasnim Menyokong Penuh Usaha

Pondok Tahfiz Bustanul Arifin di Kampung Songkum Thmey Kemboja
Madrasah Tahfiz Al Hikmah Rokapram Kemboja
Surau Al Tasnim Rokapram Kemboja
Pusat Tahfiz Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Surau Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A

0 ulasan: