Sabtu, 6 Ogos 2011

Haron Din dibenar keluar IJN


KUALA LUMPUR, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang telah dirawat beberapa hari di hospital kerana mengalami masalah jantung, telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Menurutnya, selama ditahan di wad unit rawatan rapi (CCU) IJN, beliau telah melalui tiga prosedur rawatan iaitu angiogram, ultrasound angiogram dan MRI. Katanya, berdasarkan laporan pemeriksaan, beliau masih berada di bawah penelitian doktor dan beliau dibenarkan pulang untuk berehat serta akan melalui temujanji susulan dengan doktor di IJN.

"Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat, dan saya akan bercuti beberapa hari," jelas beliau dalam laman facebooknya semalam dan turut dimuat naik dalam facebook Darussyifa', hari ini. Menurut beliau, pulang dari IJN dan berehat di rumah, beliau sempat melayari laman web dan facebook Darussyifa’ serta membaca email-email dalam google group ahli Darussyifa’.

"Membaca komen yang jumlahnya mencecah ratusan, saya sangat teruja dan terharu dengan ingatan, doa, dan kata-kata perangsang daripada tuan-tuan dan puan-puan."Saya ucapkan jutaan terima kasih dan Allah sajalah yang layak membalasnya," katanya ringkas sebaik pulang ke rumah setelah dibenarkan keluar dari hospital oleh doktor yang merawatnya.

Dalam laman facebook terutama facebook kepunyaan Darussyifa', orang ramai tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT agar beliau segera sembuh serta pulih seperti biasa.

Kemasukan beliau ke hospital, khususnya IJN, mencemaskan orang ramai, sehingga menyebabkan pelbagai pihak tidak putus-putus bertanya mengenai keadaan terkininya.

0 ulasan: