Ahad, 14 Julai 2013

Awasi sindiket kutip derma di bulan Ramadhan konon untuk bina Tahfiz dan Surau

Seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
 

SK sangat kecewa dengan fenomena kurang sihat berlaku mutaakhir ini. Sindiket mengutip derma meraih simpati kononnya derma untuk tujuan pembinaan Tahfiz dan Surau. Hanya kerana seekor dua kerbau membawa lumpur , habis semuanya terpalit.
 
Kepada yang terlibat dengan kerja durjana ini SK nasihatkan bertaubatlah, kerana kerja jahat anda ini akan menimbulkan persepsi buruk kepada semua Pusat Tahfiz yang ikhlas  melahirkan para hufaz.
 
Nasihat SK kepada yang ingin menderma, siasat lebih lanjut sebelum membuat keputusan untuk membuat sumbangan.
 
Sebab nila setitik habis rosak susu sebelanga. :(
 
-------------------------------------------------
Sumber Berita Metro :
 
Kuantan: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menahan individu yang menjalankan kegiatan mengutip derma di sekitar daerah ini tanpa kebenaran pihak berkuasa. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan JAIP Mohd Raffli Abd Malik berkata, kegiatan individu berkenaan yang didalangi sindiket dilihat semakin menjadi-jadi pada Ramadan, dengan menjadikan kawasan tumpuan ramai seperti masjid dan bazar Ramadan untuk menjalankan aktiviti itu.

Katanya, ada antara mereka bertindak berani dengan mempamerkan logo Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) palsu bertujuan meyakinkan orang ramai untuk menderma.

“Hasil pemantauan kita selama seminggu mendapati ada beberapa individu aktif mengutip derma tanpa kebenaran MAIP dan mereka menggunakan kesempatan Ramadan untuk mempergiatkan aktiviti di tempat tumpuan umat Islam.

“Kita akan menangkap individu berkenaan dalam masa terdekat jika masih meneruskan kegiatan yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Mohd Raffli berkata, individu berkenaan bijak mengaburi mata orang ramai dengan mengutip derma atas alasan mahu membina masjid dan pusat tahfiz yang sebenarnya tidak wujud.

 “Ada antara mereka mengutip derma atas alasan mahu membina masjid namun apabila disiasat dengan lebih terperinci, ia sebenarnya tidak wujud,” katanya.












0 ulasan: