Selasa, 14 Februari 2012

Azhar Idrus - Valentine Day


KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menggesa seluruh umat Islam supaya mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke-71 pada 22-24 November 2005 yang telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Katanya, berpandukan kepada keputusan ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut yang boleh diakses melalui laman web e-fatwa Jakim di alamat www.e-fatwa.gov.my, sewajibnya seluruh umat Islam akur serta memahami bahawa sambutan perayaan hari valentine adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.

“Aqidah adalah menjadi perkara teras dalam ajaran agama Islam yang mesti dipelihara oleh setiap umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, adalah menjadi keperluan mendesak kepada seluruh umat Islam untuk memahami isu itu bahawa sambutan perayaan hari valentine adalah sesuatu aktiviti yang dilarang dalam Islam kerana mempunyai susur galur sejarah yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Elemen itu, jelasnya adalah elemen utama yang menjadi alasan keharaman sambutan perayaan valentine bagi seluruh umat Islam.

Dasar itu, katanya adalah selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kaafirun, ayat 1-6 yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

“PUM juga menyokong inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah melancarkan kempen Awas! Jerat Valentine’s bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pihak NGO, Raudhah Sakinah,” ujarnya lagi.

Pada hemat PUM, kata beliau pendekatan seumpama itu mesti dikembangkan ke seluruh pelosok tanah air supaya dapat membantu membina kefahaman umat Islam khususnya di kalangan orang muda dalam menangani isu tersebut secara objektif.

Dalam pada masa yang sama, kata beliau PUM juga mengesyorkan kepada pihak berwajib seperti Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak-pihak berkepentingan lain melakukan pemantauan berterusan kepada siaran media cetak dan elektronik supaya tidak menyiarkan apa jua kempen, iklan, drama, filem dan artikel yang boleh menggalakkan umat Islam menyertai sambutan hari valentine tersebut.

PUM juga, tambahnya ingin menasihatkan masyarakat bukan Islam supaya memahami isu itu secara objektif serta menghormati prinsip agama Islam yang wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam.

“Dasar hukum ini adalah hanya mengikat dan terhad kepada seluruh umat Islam sahaja,” jelasnya.

0 ulasan: