JEDDAH: Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Naif menyeru supaya projek meluaskan mataf (tempat bertawaf mengelilingi Kaabah) yang dapat menempatkan 130,000 jemaah haji pada satu masa, dipercepatkan.
Dia berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Haji di pejabatnya di Riyadh. Mesyuarat itu membincangkan setiap aspek dalam projek itu, terutama dalam menangani masalah berkurangnya keluasan mataf ketika pembinaan sedang dijalankan.
Menurut laporan agensi berita Saudi, apabila siap, projek itu dapat meningkatkan kapasiti mataf daripada 52,000 kepada 130,000 jemaah. Projek itu sudah pun dimulakan. Menurut perancangannya, mataf itu akan diluaskan 20 meter hingga ke serambi Uthmaniyah di setiap tingkat dalam Masjid Besar termasuk di teres.Di bahagian bawah, tiang di ruang solat akan diruntuhkan untuk projek perluasan mataf itu.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan haji dan jemaah, juga mengenai projek pembinaan di Makkah dan beberapa tempat suci.
Putera Naif kemudian bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Mauritius, Mohamed Pild Beilill yang menandatangani perjanjian keselamatan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Putera Ahmed. - Agensi
0 ulasan:
Catat Ulasan