CHICAGO: Bencana puting beliung yang melanda bandar di Missouri dan meranapkan kediaman, bangunan sekolah serta hospital dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang.
Puting-beliung yang melanda bandar Joplin berdekatan sempadan Oklahoma dan Kansas, semalam terjadi kurang daripada sebulan selepas bencana puting-beliung terburuk menyebabkan 354 orang maut di seluruh Amerika Syarikat berlaku. Ia adalah antara 46 bencana puting-beliung paling buruk berlaku di tujuh negeri di AS yang dilaporkan Pusat Khidmat Cuaca Kebangsaan. “Keadaan bagaikan di zon peperangan,” ujar Editor Joplin Globe, Scott Meeker.
“Beratus-ratus mangsa yang cedera dirawat di Hospital Memorial Hall tetapi disebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan bekalan ubat-ubatan kehabisan, maka mereka menjadikan sekolah sebagai pusat rawatan,” tambahnya.
Penduduk, Jeff Law, 23, sempat berlindung di bilik bawah tanah dan terkedu sewaktu melihat keadaan sekeliling sebaik keluar dari situ.
“Saya tinggal di sini seumur hidup saya dan apabila saya keluar dari ruang bawah tanah, saya bagaikan tidak tahu di mana saya berada,” katanya kepada wartawan akhbar Springfield News-Leader. “Semuanya tidak lagi seperti dulu. Ia bagaikan dunia sudah berakhir,” katanya lagi. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan