Khamis, 2 Disember 2010

Syeikh Idris Al Marbawi


Al Marhum Syeikh Idris Al Marbawi

Berikut adalah biodata ringkas ulama' Nusantara yang masyhur pengarang kitab Bahrul Mazi. Syeikh Idris Al Marbawi. Al Fatihah!

Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Dzulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah mampu menghafal kitab suci Al-Quran sebanyak 16 juzuk, di samping beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1323 Hijrah, beliau pulang ke Malaysia bersama-sama keluarga.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.

Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.

Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.

Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.
 
S U R A U K I N I
Menyokong penuh usaha
Pusat Tahfiz Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Pusat Tahfiz Idrisiah Bagan Datoh Perak
Sekolah Islam Al Farabi Kampung Jukaing Kemboja

 
Upah Haji RM1,500.00 Insyallah sempurna 013-2791608 - layari www.suraukini.com

0 ulasan: