Selasa, 10 April 2012

Kisah Lori minyak masak dan Tsunami


Lori minyak masak kemalangan. Orang ramai berpesta berebut minyak masak "percuma?"

Dua kisah yang boleh kita renungkan bersama. Kisah pertama kisah kemalangan lori tangki minyak masak di Alor Star semalam. Kisah kedua ialah kisah Tsunami di Jepun.

KISAH 1 : Kemalangan Lori tangki Minyak Masak

ALOR SETAR: 9 April 2012  - Kebocoran saluran paip lori tangki minyak masak di Kampung Alor Jawi, Langgar, dekat sini, bagaikan pesta apabila orang ramai terutama penduduk berhampiran berebut - rebut mendapatkan bekalan itu, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12 tengah hari apabila lori tangki sarat membawa muatan 18 tan minyak masak terbabit dalam kemalangan sebelum terbabas di bahu jalan selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda. Difahamkan, lori tangki berkenaan dalam perjalanan menghantar bekalan minyak masak dari Butterworth, Pulau Pinang ke sebuah syarikat pemborong di Naka, Kuala Nerang untuk dibungkus sebelum dijual kepada peruncit.

Harian Metro mendapati penduduk yang menyedari kejadian bertindak membawa botol kosong, besen dan baldi serta tong sampah kosong bagi mengisi minyak masak yang mengalir selepas saluran paip lori tangki berkenaan mengalami kebocoran.
Malah, pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu dikatakan turut berhenti dan tidak melepaskan peluang mengisi minyak masak bagi dibawa pulang ke rumah hingga ada yang sanggup berulang-alik ke lokasi kejadian beberapa kali.

Tinjauan ke lokasi kejadian sehingga jam 5 petang mendapati berlaku kesesakan kira-kira lima kilometer apabila orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak ke dalam tong masing-masing walaupun keadaan ketika itu hujan renyai.

KISAH 2 (Kisah selepas Tsunami di Jepun)

Penduduk Jepun pulangkan semula RM246.41 juta


TOKYO – Beberapa penduduk Jepun menyerahkan kepada pihak berkuasa wang tunai yang ditemui mereka berjumlah £50 juta (RM246.41 juta), lapor sebuah akhbar semalam. Wang itu ditemui oleh beberapa penduduk selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.

Sifat jujur rakyat Jepun itu didedahkan oleh media Britain. Sebelum ini sejumlah golongan muda didakwa di mahkamah-mahkamah di Britain ekoran kes kecurian yang berleluasa semasa beberapa bandar utama di negara itu dilanda rusuhan baru- baru ini.

Lebih 5,700 peti simpanan yang terdampar di pesisiran pantai telah diserahkan ke balai-balai polis oleh sukarelawan dan petugas penyelamat. Di dalam peti-peti berkenaan, polis menemui sekitar £20 juta (RM98.49 juta) dalam bentuk wang tunai.

Polis juga menemui wang tunai berjumlah £600,000 (RM2.95 juta) dalam sebuah peti simpanan tersebut. Menurut polis, hampir semua wang tunai yang ditemui di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat tsunami itu telah dipulangkan kepada pemilknya.

Ramai yang menyimpan buku akaun dan dokumen hak tanah bersama nama serta alamat mereka dalam peti simpanan tersebut. – Agensi

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

SK: Mengambil hak orang tanpa kebenaran bukanlah sikap yg terpuji. Orang Islam sepatunya menjadi contoh yang baik kepada orang bukan Islam.

Hikmah yang hilang dari umat Islam hari ini.

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها 

Maksudnya: Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.

(Riwayat Tirmizi).
Malu kat org Jepun!!

0 ulasan: