Rabu, 22 Jun 2011

Video Pesawat RusAir terhempas di atas lebuh raya di Moscow



21 June 2011 MOSCOW: Seramai 44 orang terbunuh dan lapan lagi cedera parah apabila sebuah kapal terbang terhempas di atas sebatang lebuh raya dan terbakar di utara Rusia, nyaris-nyaris terkena sebuah kawasan yang dihuni manusia, kata pegawai semalam. Pesawat RussAir Tu-134 cuba melakukan pendaratan kecemasan dalam keadaan cuaca buruk sejurus sebelum tengah malam di atas lebuh jalan raya yang berada dua kilometer dari destinasi, Lapa-ngan Terbang Petrozavodsk di wilayah Karelia.

Namun pesawat berusia 30 tahun itu pecah dan terbakar apabila ia mencecah bumi, kata Kementerian Kecemasan Cawangan Karelia dalam satu kenyataan menerusi laman sesawangnya.Tidak pula jelas kenapa pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan di lebuh raya berkenaan tetapi penyiasat menyebut tentang kemungkinan berlakunya kerosakan kepada sistem pendaratan di Petrozavodsk, termasuk lampu pendaratan berintensiti tinggi.

“Pesawat terbabit mengalami pendaratan yang sukar, dua kilometer dari Petrozavodsk,” kata Kementerian Kecemasan.“Seramai 44 orang terkorban dan lapan orang cedera.”Gambar yang disiarkan di dalam laman sesawang kementerian menunjukkan serpihan pesawat bertaburan di atas jalan berdekatan sebuah kawasan yang dihuni manusia di latar belakang.

Pesawat itu, yang terbang dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow, membawa 43 penumpang dan sembilan anak kapal.“Keadaan teruk sekali. Ia adalah satu bencana. Ia adalah satu keajaiban kerana serpihan daripada badan pesawat tidak terkena rumah di pinggir perkampungan Besovets,” kata sumber dalam industri penerbangan kepada agensi Interfax. “Mayat bergelimpangan di atas lebuh raya.”

Ketua wilayah Karelia, Andrei Nelidov telah pergi ke tempat kejadian dan akan mengadakan satu mesyuarat tergempar yang turut disertai pendakwa raya dan Jabatan Keselamatan FSB. Wilayah Karelia di Rusia, yang terletak berdekatan sempadan Finland, kawasan tasik dan hutan indah yang amat popular di kalangan pelancong Rusia sewaktu cuti musim panas.

Jurucakap Kementerian Kecemasan Irina Andrianova memberitahu agensi berita Interfax, tujuh daripada lapan mangsa yang cedera amat parah dan semua mangsa sedang menerima rawatan bagi kelecuran.Laman sesawang lifenews.ru berkata, seorang kanak-kanak bernama Anton Terekhin, 10, antara mangsa yang terselamat.

Ketua operasi wilayah Kementerian Kecemasan, Shamstudin Dagirov memberitahu agensi berita Rusia bahawa seorang warga Sweden turut terbunuh.Ketua Lapangan Terbang Petrozavodsk, Alexei Kuzmitsky memberitahu Interfax, keadaan cuaca di sekitar lapangan terbang itu pada waktu kejadian “tidak baik” dan Andrianova berkata hujan dan kabus tebal berlaku pada waktu nahas.

Namun demikian, punca nahas kemungkinan kerosakan sistem lapangan sebagai panduan bagi pesawat itu untuk melakukan pendaratan, kata timbalan ketua Suruhanjaya Udara Antara Negeri (MAK) yang menyiasat nahas udara di negara bekas USSR, Alexei Morozov, kepada agensi berita ITAR-TASS.

“Lampu pendaratan berintensiti tinggi di atas landasan yang sepatutnya dihidupkan dalam keadaan cuaca buruk tidak berfungsi,” katanya.Kotak hitam pesawat sudah dijumpai.

“Soalan utama ialah kenapa pesawat Tu-134 itu tidak me-mulakan pendaratan di atas landasan tetapi di atas lebuh raya,” kata seorang pegawai RussAir kepada Interfax.

AFP


Di bawah ini adalah koleksi video kapal terbang terhempas di Russia






0 ulasan: