Selasa, 6 Julai 2010

Beberapa Pengajaran Israk Mikraj

Gambar : Jarak Antara Mekah ke Masjidil Aqsa. Tempat berlakunya Israk Mikraj


PERISTIWA RASULULLAH DIBELAH DADANYA

Atap rumahku dibuka, saat itu aku berada di Makkah. (Malaikat) Jibrail turun dan membedah dadaku, kemudian mencucinya dengan air zamzam.Kemudian didatangkan sebuah bekas dibuat daripada emas yang berisi hikmah dan iman, lalu dituang ke dalam dadaku. Kemudian dadaku ditutup.”

Demikianlah diterangkan Rasulullah S.A.W seperti diriwayatkan al - Imam al-Bukhari. Peristiwa itu berlaku pada malam Israk dan Mikraj, seketika sebelum Baginda menaiki buraq untuk meluncur sekelip mata dari Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

Timbul persoalan, mengapakah perlu dicuci hati Rasulullah S.A.W sebelum perjalanan itu?

Ia adalah satu daripada beberapa rahsia yang boleh disingkap daripada peristiwa Israk dan Mikraj iaitu kelayakan perlu dimiliki hati sebelum dapat meraih keistimewaan bakal Allah berikan kepada tuannya. Hanya hati yang bersih layak untuk diperlihatkan tanda kebesaran Allah ketika Israk dan Mikraj, manakala hati yang kotor, dicemari kuman kedengkian, buruk sangka, dendam, angkuh, ujub, riak dan sebagainya
tidak layak untuk semua keistimewaan itu.

Maka, sesiapa yang menginginkan keistimewaan daripada Allah, hendaklah dia terlebih dulu memerhatikan keadaan hatinya. Peristiwa pencucian hati Rasulullah S.A.W menerusi pembukaan dada oleh Malaikat Jibrail adalah mukjizat khusus kepada Baginda S.A.W.

Adapun kita tidak boleh ada satu bentuk pencucian seumpama itu. Pakej pencucian hati ‘sekali cuci bersih selamanya’ yang ditawarkan individu atau pihak tertentu adalah palsu belaka. Sebaliknya yang boleh dilakukan ialah usaha pendidikan, kesedaran, penerapan dan pembetulan yang dilakukan secara berulang serta berterusan.

Gambar : Masjidil Aqsa. Di sini Rasulullah mengimamkan solat bersama para Nabi yang lain 

RASULULLAH MENJADI IMAM

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW mendapati nabi dan rasul sebelum Baginda sedang bersolat di sana, lantas Baginda turut bersolat menjadi imam bagi nabi dan rasul di situ. Rahsia di sebalik itu disingkap Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi: “Nabi solat di belakangnya (Muhammad). Hal ini, pemberitahuan mengenai ciri kesejagatan risalah Baginda, keabadian kepemimpinannya, kepiawaian ajarannya serta kesesuaiannya dalam pelbagai ruang dan masa.

Selepas menjadi imam, Rasulullah S.A.W Mikraj dari Masjid al-Aqsa ke lapisan langit. Rahsia pertama dapat ditangkap ialah bagi membuktikan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Rahsia kedua, iaitu sebagai sindiran kepada kaum sebelum itu yang titik paksi mereka ialah Masjid al-Aqsa.

Bumi Palestin ialah tempat diutus beberapa rasul dan nabi sebelum Rasulullah S.A.W akan tetapi umat setempat menentang ajaran dibawa rasul dan nabi itu. Sudah menjadi ketetapan Allah sesiapa yang menentang ajaran-Nya dan ajaran rasul-Nya, akan dibalas dengan kehinaan. Maka dengan itulah mereka disindir dan dihina, di mana peristiwa Israk dan Mikraj menjadi kebanggaan umat Muhammad dan bukan diri mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang menentang Allah dan rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang terdahulu daripada mereka ditimpa kehinaan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 5)

RASULULLAH MEMBERI SALAM KEPADA SEMUA NABI

Dalam hadis sahih diterangkan setiap kali Rasulullah SAW menaiki lapisan langit yang baru, Baginda bertemu dengan seorang atau lebih nabi. Perkataan pertama diucapkan ialah ‘Assalamualaikum.” Oleh itu, ia sepatutnya menjadi ucapan kita sesama umat Islam apatah lagi jika kita ingin melayakkan diri memasuki syurga, kerana Rasulullah S.A.W mengingatkan: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan mengucap Assalamualaikum), nescaya kalian akan mewarisi syurga.

Mikraj Nabi Muhammad di bawa merentasi lapisan langit

KEFARDHUAN SOLAT

Ketika Mikraj ke langit, Rasulullah S.A.W menerima perintah pelaksanaan solat fardu. Jika dibandingkan dengan ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji, semuanya diperintahkan menerusi wahyu ketika Baginda berada di bumi.

Hanya ibadah solat diperintahkan ketika Baginda berada di langit. Ia sekali gus, menunjukkan bahawa istimewa lagi penting ibadah solat fardu berbanding ibadah lain. Bagaimanapun, atas nasihat Nabi Musa, Rasulullah S.A.W kembali mengadap Allah untuk meminta pengurangan 50 kali solat sehari hingga akhirnya menjadi lima.

RASULULLAH MENERIMA NASIHAT NABI MUSA

Satu rahsia berharga untuk disingkap, iaitu kesediaan Rasulullah S.A.W mendengar nasihat Nabi Musa padahal tidak sampai beberapa jam sebelum itu, Baginda menjadi imam kepada Nabi Musa ketika mereka solat di Masjid al-Aqsa. Seandainya Baginda SAW bersikap angkuh sehingga enggan mendengar nasihat Nabi Musa, nescaya umat Islam dibebani dengan ibadah solat fardu sebanyak 50 kali sehari. Kesediaan dan sifat rendah diri mendengarnya dan kelapangan jiwa melaksanakannya adalah ciri pemimpin berjaya.

Sikap itu membawa manfaat besar kepada dirinya dan orang di bawah pimpinannya. Sebaliknya, sikap angkuh, tinggi diri dan kesempitan jiwa hanya akan membawa mudarat kepada dirinya dan orang di bawah pimpinannya.

Rasulullah S.A.W juga berjumpa dengan satu kaum yang mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku diperbuat daripada tembaga semasa Mikraj. Rasulullah SAW bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibrail? Beliau menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan maruah mereka (ketika di dunia dulu).”

Apabila diceritakan pengalaman beliau ketika Israk dan Mikraj, ramai kalangan orang kafir Makkah meragui dan mengingkarinya. Lalu seorang antara mereka yang pernah sampai ke Bait al-Maqdis dan melihat Masjid
al-Aqsa ingin menguji sejauh mana kebenaran cerita Rasulullah SAW.

Dia bertanya secara terperinci ciri binaan Bait al-Maqdis. Oleh kerana peristiwa Israk dan Mikraj berlaku agak cepat, Baginda S.A.W mengalami kesukaran mengingati secara tepat, tetapi kesukaran itu segera dipermudahkan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Tentu saja janji itu dengan syarat kita melakukan segala usaha dan persiapan yang patut kerana Allah mensyaratkan: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Dalam rangka kita memperjuangkan agama Islam, sama ada menyebarkannya atau membelanya, kadangkala kita akan menemui cabaran dan kesukaran. Janganlah berputus asa, tetapkan keyakinan bahawa Allah akan membantu dengan cara tidak disangkakan.


K   R   I   S   T   A   L      T   A   S   N   I   M      E   N   T   E   R   P   R   I   S   E
(No Pendaftaran SSM 002118796-U)


Kristal Tasnim Menyokong Penuh Usaha

Surau Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A



0 ulasan: