KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari ini.
Fenomena gerhana bulan dijangka mengambil masa selama lima jam 17 minit itu bermula pada jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari).
"Di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala Sabah dan Sarawak, fenomena ini akan bermula selepas bulan terbit.
"Fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari," kata Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), dalam kenyataan, hari ini.
Gerhana bulan penuh turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.
Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.
Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.
Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.
Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi kedudukan perigee iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini 'Gerhana Supermoon'.
Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 kilometer dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini.
Penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.
Observatori Negara Langkawi, ANGKASA akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.
Beberapa teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.
Lokasi lain boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah Planetarium Negara, Kuala Lumpur; Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.
Gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi dan kelihatan di Malaysia pada 28 Julai depan.
SOLAT SUNAT GERHANA BULAN
Lafaz niat:
أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
"Sahaja aku solat sunat gerhana BULAN dua rakaat kerana Allah Taala."
Kaifiat:
Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Khaifiat yang lebih sempurna adalah seperti berikut:
- Rakaat Pertama
- Takbiratul Ihram.
- Membaca doa Iftitah.
- Membaca surah al-Fatihah.
- Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.
- Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 100 ayat.
- lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
- Membaca surah Ali-lmran atau mana-mana surah.
- Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 90 ayat.
- Iktidal.
- Sujud dan membaca tasbih.
- Duduk antara dua sujud.
- Sujud kembali.
- Berdiri ke rakaat kedua.
- Rakaat Kedua
- Membaca surah al-Fatihah.
- Membaca surah al-Nisa' atau mana-mana surah.
- Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
- lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
- Membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.
- Ruku dan membaca tasbih kira-kira 50 ayat.
- Iktidal.
- Sujud dan membaca tasbih.
- Duduk antara dua sujud.
- Sujud kembali.
- Membaca tasyahud akhir.
- Memberi salam.
Solat juga boleh dilakukan dengan dua kali berdiri, dua kali bacaan dan dua kali ruku' sebagaimana solat biasa tanpa memanjangkannya. Begitu juga sah dilakukan sebanyak dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku' sebagaimana solat fardu Jumaat. Namun cara ini meninggalkan fadhilat kerana berlainan daripada perbuatan Nabi.
0 ulasan:
Catat Ulasan