Ibadah Korban Anjuran Surau Ad Diniyyah 1434 - RM430.00 Sebahagian
FADHILAT QURBAN DAN AQIQAH
Assalamualaikum
Warahmatullah!!
Tahun
ini Insyaalah kita akan menyambut kedatangan Idul Adha pada15 Oktober 2013.
Seperti tahun – tahun yang lalu pihak Surau Ad Diniyyah akan mengadakan aktiviti ibadah
Qurban dan Aqiqah. Kedua - dua ibadah ini adalah antara amalan mulia dan
penting dalam Islam kerana amat besar fadhilatnya, tetapi malangnya masih ramai
orang yang samar - samar atau kabur kefahaman mereka mengenainya, sehinggakan
ada yang memandang ringan walaupun mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu
melakukan penyembelihan qorban dan aqiqah ini.
Semoga dengan penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita semua tentang ibadat Qurban serta Aqiqah serta keinginan untuk sama - sama mencari pahala kedua ibadah ini akan meningkat.
Apakah
sebenarnya qurban dan aqiqah itu?
Apakah
hukum melakukannya? Berapa kali kita dituntut melakukan qurban sepanjang hayat
kita? Apakah syarat - syarat binatang yang dikorbankan? Apakah perbezaan antara
qurban dan aqiqah? Bolehkah seekor lembu dikongsi sebahagian untuk qurban dan
sebahaian untuk aqiqah? Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana
melakukan kedua-dua ibadah itu?
Demikianlah
antara masalah yang akan cuba
kita kupas serta perjelaskan dibahagian ini dan disamping itu akan dijelaskan
beberapa perkara berkaitan dengan ibadah kurban dan aqiqah, semoga memberi
kefahaman yang jelas hingga kita dapat menghayatinya dengan penuh keimanan
kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada
amalan yang akan kita lakukan ini.
PENYEMBELIHAN QURBAN
Qurban
ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas
solat 'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana
beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat
Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad
s.a.w.
Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:
"Dan
telah Kami jadikan unta - unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu
memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika
kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila
telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang
rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta - minta) dan orang yang
meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta - unta itu kepada kamu,
mudah-mudahan kamu bersyukur." (surah
al-Haj:36)
"Maka
dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah
al-Kauthar:2)
Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
HUKUM BERQURBAN
Hukumnya Sunnat
Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat - syarat
seperti berikut:
¨ Islam
¨ Merdeka (Bukan hamba)
¨ Baligh lagi berakal
¨ Mampu untuk berqurban
"Aku
disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau."
(Riwayat al-Turmuzi).
"Telah
diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu." (Riwayat
Daruqutni)
(Sila Rujuk: Fiqh
al-Sunnah)
PERLAKSANAAN QURBAN
Binatang
yang diqurbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang
berumur dua tahun, biri - biri telah berumur satu tahun atau telah gugur
giginya sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
Binatang
itu disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua - duanya, kakinya
tidak cacat, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung
atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang
hendak disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
WAKTU MENYEMBELIH
Daging qurban sunnat,
orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging qurbannya. Pembahagian
daging qurban sunnat terdapat tiga cara yang utamanya adalah mengikut urutan
sepererti berikut:
¨ Lebih utama orang yang berqurban mengambil hati binatang
qurbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan
¨ Orang yang berqurban itu mengambil satu pertiga daripada jumlah
daging qurban, dua pertiga lagi disedekahkannya.
¨ Orang yang berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah
daging, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga
lagi dihadiahkan kepada orang yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w:
"Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah."
HIKMAH DAN FADHILAT
¨ Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
¨ Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t.
¨ Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu
berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
¨ Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
¨ Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara
golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
¨ Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian
al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang
bermaksud: "Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu
dititian pada hari kiamat."
AQIQAH UNTUK ANAK
Aqiqah
pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak - kanak.
Sementara pengertian aqiqah dari segi syara’ ialah binatang yang disembelih
pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah
disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah
s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir
itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari
ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat
Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan
maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis
diatas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak - kanak
tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya
melakukan kebaikan.
Menurut Imam Ahmad bin
Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum
diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang
tuanya diakhirat kelak.
HUKUM AQIQAH
Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
Anak zina, aqiqahnya
sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan
bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib
Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak
zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
Anak lelaki
disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan
memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah
s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki
dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing.
(Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah
s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor
kambing. (Riwayat Abu Dawud)
HUKUM-HUKUM YANG LAIN BERKAITAN
DENGAN QURBAN DAN AQIQAH
Jika menyembelih qurban
sendiri hendaklah berniat: "Aku jadikan binatang ini qurban untuk
diriku kerana Allah Ta'ala" dan seumpamanya, atau jika penyembelihan
aqiqah berniat : "Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah
untuk anakku kerana Allah Ta'ala."
1) Secara wakil, maka orang
yang mewakilkan berkata: "Aku wakilkan atas diriku untuk menghasilkan
penyembelihan qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anak ku...)."
Orang yang menerima wakil menjawab: "Aku terima sebagai wakil untuk
menghasilkan penyembelihan qurban untukmu (atau aqiqah untuk
anakmu...)." (PERINGATAN: Orang yang menerima wakil hendaklah
melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh diserahkan tanggungjawab menyembelih
kepada orang lain).
2) Secara menyerahkan
tanggungan dengan berkata: "Saya meletakkan atas zimmah tanggungan tuan
untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku (atau aqiqah untuk
anakku)." (PERINGATAN: Penerima jika tidak dapat menyempurnakan
tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan kepada orang lain untuk
menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang berakad tadi).
QURBAN DAN AQIQAH BERAMAI - RAMAI
Sekarang ini ada pihak
tertentu seperti Masjid, Surau atau badan kebajikan dan orang perseorangan
menganjurkan majlis Qurban dan Aqiqah secara beramai - ramai. Pada dasarnya
amalan ini baik demi menggalakkan masyarakat Islam melakukan kedua -dua ibadah
yang sangat dituntut dalam Islam (Sunnat Muakkad). Namun yang demikian,
beberapa syarat berikut ini hendaklah dipatuhi:
¨ Pengurusan hendaklah dilakukan dengan betul, dengan penuh amanah
dan tanggungjawab.
¨ Harga yang dikenakan hendaklah dinyatakan termasuk kos
pengurusan (Penyembelihan, kenderaan, upah menyembelih, melapah dan sebagainya
jika memerlukan upah).
¨ Hendaklah diadakan aqad atau ijab dan qabul antara orang yang
melakukan qurban atau aqiqah dengan pihak pelaksana (AJK Qurban/ Aqiqah atau
AJK Masjid/ Surau/ Badan Kebajikan/ Orang perseorangan).
KORBAN DI SURAU AD DINIYYAH RM430. SATU BAHAGIAN (ANJURAN SURAU AD DINIYAH) DOWNLOAD BORANG
KORBAN DI KEMBOJA RM280.00 SATU BAHAGIAN (KLIK SINI)
BERMINAT UNTUK BERKORBAN DAN AQIQAH HUBUNGI - 013 2791608
0 ulasan:
Catat Ulasan