Rabu, 12 Disember 2012

Dunia akan berakhir 21 Disember ini??

Kalendar kaum Mayan yang meyakini kiamat akan berlaku pada 21 Disember ini?
 
Lagi 8 hari kita akan bertemu tarikh 21 Disember 2012. Tarikh yang diramal akan berlakunya kiamat. Dunia sampai ke penghujungnya? 
 
DUNIA sains sendiri tidak dapat memberi pengesahan atau kesahihan berhubung hari kiamat bakal berlaku walaupun merujuk kepada kalendar Mayan, dunia bakal berakhir pada 21 Disember 2012 ini.
 
Walaupun kaum Mayan telah membuat kesimpulan mereka secara astrologi, tetapi banyak kepercayaan lain memberi pandangan berbeza - beza mengenai hari kiamat.
  
Umat Islam meyakini bahawa tarikh sebenar berlakunya hari kiamat adalah di bawah Ilmu Allah. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah menyebut dalam hadithnya tentang tarikh sebenar berlakunya kiamat. Semuanya di bawah kekuasaan ALLAH S.W.T. Mempercayai berlakunya hari kiamat adalah merupakan rukun iman yang menjadi pegangan aqidah seluruh umat Islam. 
 
Ada banyak hadith yang menceritakan tentang tanda - tanda kecil dan tanda - tanda besar sebelum berlakunya kiamat.
 
Telah banyak tanda - tanda kecil kiamat berlaku pada hari ini. Hal ini boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri.  Tetapi masih banyak tanda - tanda besar kiamat yang disebut dalam hadith Nabi SAW yang masih belum berlaku.
 
SK senaraikan di bawah ini tanda - tanda kecil kiamat dan tanda - tanda besar kiamat. Sebahagian dari tanda - tanda besar masih belum berlaku. Meyakini hadith - hadith Sahih Nabi SAW tentang TANDA - TANDA BESAR KIAMAT akan membawa kita yakin bahawa hari kiamat tidak akan berlaku pada 21 Disember ini.
 
Walaupun kiamat tidak berlaku pada 21 Disember 2012 ini, jangan pandang ringan terhadap kiamat kecil. Kiamat kecil adalah kematian yang berlaku  pada setiap individu. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui saat kematian. Biarkanlah tarikh kiamat besar itu di bawah ilmu dan pengetahuanNya. KIAMAT BESAR pasti akan berlaku juga.
 
Jangan pula disebabkan kiamat tidak berlaku pada 21 Disember 2012 ini maka kita menyangka kita terlepas dari kiamat kecil. Ingatlah kematian itu pasti berlaku. Kita sangat hampir dengan kematian 
 
Sebaik - baik manusia adalah mereka yang paling banyak mengingati mati.
 
Antara tanda - tanda kiamat kecil ialah  
  • Penaklukan Baitulmuqaddis. Dari Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.”Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” – Sahih Bukhari
  •  
  • Zina bermaharajalela. “Dan tinggallah manusia – manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim
  • Bermaharajalela alat muzik.”Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.”Ada yang bertanya kepada Rasulullah;”Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab;”Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah
  •  
  • Menghias masjid dan membanggakannya. “Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” -Riwayat Nasai.
  • Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik. “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim
  • Ramai orang soleh meninggal dunia.”Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran – Riwayat Ahmad
  •  
  • Orang hina mendapat kedudukan terhormat.”Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” -Riwayat Thabrani
  • Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.”Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.” -Riwayat Ahmad
  •  
  • Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”
  • Bulan sabit kelihatan besar.”Di antara tanda - tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.” -Riwayat Thabrani
  •  
  • Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.”Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita - berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu” – Sahih Muslim
  •  
  •  Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.”Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar” – Riwayat Ahmad
  •  
  • Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.”Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai -  sungai.” – Sahih Muslim
 
TANDA - TANDA BESAR
 
Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?” Lalu kami menjawab, “Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat.” Sabda Rasulullah S.A.W. “Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-

• Keluarnya asap
• Munculnya Dajjal
• Munculnya binatang yang melata di mukabumi
• Terbitnya matahari sebelah barat
Turunnya Nabi Isa A.S
• Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
• Gerhana di timur
• Gerhana di barat
• Gerhana di jazirah Arab
• Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.

Wallahu a'lam

 

 
 

0 ulasan: