Isnin, 2 Julai 2012

Bolehkah solat sunat selepas Solat Asar?


Bolehkah solat sunat selepas solat asar? Adakah semua solat sunat diharamkan selepas solat Asar? Solat yang macamanakah yang diharuskan ditunai selepas solat asar?
Ada lima waktu kita dilarang solat;

1. Selepas solat subuh hingga terbit matahari
2. Selepas solat asar hingga terbenam matahari
3. Ketika terbit matahari hinggalah meninggi dengan kadar segalah (yakni 15 – 20 minit selepas terbit matahari, iaitu masuknya waktu dhuha)
4. Ketika matahari di tengah langit hinggalah ia tergelincir (yakni hingga masuk waktu zohor); dikecualikan hari jumaat bagi orang hadir ke masjid untuk solat jumaat.
5. Ketika matahari menguning hingga terbenam matahari.[1]
Dalil larangan tersebut ialah hadis-hadis Nabi berikut;

a) Sabda Nabi –sallallahu ‘alahi wasallam-; “Tidak ada solat selepas solat subuh hingga matahari meninggi dan tidak ada solat selepas solat asar hinggalah matahari terbenam” (HR Imam al-Bukhari dari Abi Sa’id al-Khudri, Bab La Tataharra as-Solah Qabla Ghurub as-Syams).

b) Abu Hurairah menceritakan; “Rasulullah menegah dari mengerjakan solat selepas asar hingga terbenam matahari dan selepas subuh hingga terbit matahari” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah. Bab al-Auqat allati Nuhiya ‘an as-Solah fiha).

c) Dari ‘Uqbah bin ‘Amir menceritakan; “Tiga waktu Rasulullah menegah kami dari mengerjakan solat dan mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu-waktu tersebut, iaitu; (1) Ketika terbit matahari hinggalah matahari meninggi, (2) Ketika bayang-bayang tengahari berdiri (yakni berhenti) (*bermaksud; matahari berada di tengah langit) dan (3) Ketika matahari condong untuk terbenam (*yakni ketika menguning di waktu petang)” (HR Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Daripada lima waktu si atas, dua waktu berkait dengan perbuatan solat, iaitu yang pertama dan yang kedua (selepas solat subuh dan selepas solat asar), maksudnya, kita dilarang solat bukan semata - mata apabila masuk waktu subuh atau masuk waktu asar, akan tetapi kita dilarang solat apabila kita telah melakukan solat subuh dan telah melakukan solat asar.

Adapun tiga waktu selebihnya, larangan adalah berkait dengan waktu. Maksudnya, apabila tiba sahaja waktu matahari berada di tengah langit atau matahari menguning atau matahari terbit, dilarang kita mengerjakan solat hinggalah tamat waktu larangan tersebut.

Solat yang dilarang kita melakukannya dalam waktu-waktu tadi ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab diharuskan kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang di atas.

Maksud solat - solat sunat bersebab ialah solat - solat yang didahului oleh suatu sebab (yakni sebab datang dahulu, kemudian baru disusuli dengan solat). 

Di antaranya;
1. Solat – solat yang terluput sama ada solat fardhu atau solat sunat, yakni ia boleh diqadha sekalipun dalam waktu - waktu dilarang di atas.
2. Solat yang dinazarkan
3. Solat jenazah
4. Sujud tilawah dan sujud syukur
5. Solat gerhana.
6. Solat sunat tawaf
7. Solat sunat wudhuk
8. Solat istisqa (minta hujan)
9. Solat tahiyyatul-masjid (dengan syarat seseorang itu masuk ke dalam masjid untuk tujuan iktikaf, menuntut ilmu, menunggu solat atau tujuan - tujuan lainnya. Adapun jika ia masuk masjid semata-mata ingin mengerjakan solat tahiyyatul-masjid, dilarang solat pada waktu-waktu tersebut).

Solat - solat di atas diharuskan untuk dilakukan pada waktu - waktu dilarang solat tadi kerana ia bersebab. Adapun solat-solat yang dilarang kerana tidak bersebab ialah;

1. Solat istikharah
2. Solat hajat
3. Solat sunat ihram
4. Solat sunat mutlak

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/150 (kitab as-Solah, bab as-Saat allati Nuhiya an as-solah fiha).
2. Tamam al-Minnah, Syeikh 'Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356


K   R   I   S   T   A   L      T   A   S   N   I   M      E   N   T   E   R   P   R   I   S   E
(No Pendaftaran SSM 002118796-U)


Kristal Tasnim Menyokong Penuh Usaha

Surau Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

boleh ke kita solat sunat selepas asar ketika hujan turun lebat? Terima kasih