KUALA LUMPUR - Bumbung 12 unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Lembah Pantai dekat sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam.
Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 6 petang itu kerana tingkat atas flat berkenaan tidak berpenghuni.Ketua Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Pantai Hamid Daud berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.05 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.
"Kita dibantu lapan anggota dari Balai Bomba Damansara. Kita dapati zink tercabut semasa hujan petang tadi. Pada masa ini, kita sedang mengalihkan zink yang jatuh itu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian. Dalam kejadian itu, kira-kira 30 motosikal dan 10 kereta musnah dihempap zink.
Sementara itu, bumbung tingkat 17 Pangsapuri Muhibbah di Taman Desa, yang terletak berhampiran PPR Seri Cempaka, turut diterbangkan angin. Ketua Bomba Taman Desa Saparisan Ramli berkata walaupun terdapat penghuni di tingkat itu, tidak ada kecederaan dilaporkan.Seorang penghuni PPR Seri Cempaka, Ahmad Yusof, 58, berkata kejadian bermula dengan hujan renyai, diikuti angin kencang selang lima minit.
"Pada masa itu, kanak-kanak yang sedang bermain di bawah bangunan, menjerit dan lari bertempiaran apabila zink bumbung jatuh secara tiba-tiba. Beberapa kenderaan turut musnah dan nasib baik tidak ada penduduk yang cedera," katanya kepada Bernama. Sejumlah 26 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Sri Hartamas terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.
Seorang lagi penghuni, Mohd Izwan Abd Rahmad, 24, berkata dia hanya menyedari bahagian depan keretanya remuk dihempap zink apabila menjenguk melalui tingkap rumahnya di tingkat 14."Selepas petir, saya dengar bunyi kuat. Saya jenguk ke bawah... nampak zink berterbangan dan dapati kereta saya remuk dihempap zink," katanya.
sinar harian
0 ulasan:
Catat Ulasan