Ahad, 14 November 2010

Al Udhiyah


Al-Udhiyah, ia merujuk kepada haiwan ternakan yang disembelih pada hari ‘Idul Adha dan hari - hari Tasyriq dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SAW. Haiwan ternakan yang dibolehkan untuk korban ialah unta, lembu, kambing, atau biri-biri. (Abu Malik Kamal, Ensikolopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 115. Dan ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 566)

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memiliki keluasan (rezeki) namun dia tidak berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Justeru menurut pendapat yang kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib bagi setiap Muslim berkemampuan untuk berkorban. (Syaikh Ali Hasan al-Halabi, Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, m/s. 86, Pustaka Imam asy-Syafi’i)

Hari yang disyariatkan untuk menyembelih haiwan korban ialah pada 10, 11, 12, dan 13 Zulhijah. Imam asy-Syafie rahimahullah berkata: “Waktu menyembelih haiwan korban ialah ketika imam telah selesai solat Aidiladha. Apabila hari - hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijah), tidak boleh lagi menyembelih korban. (Imam asy-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh, Terbitan / terjemahan: Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m/s. 737)

Jenis - jenis haiwan untuk ibadah korban ialah dari haiwan ternakan berupa unta, lembu, kambing, kibas, atau biri-biri. (Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 2/559)

Umur yang sesuai bagi haiwan untuk disembelih disebutkan secara umum, iaitu perlu mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Janganlah kamu menyembelih (haiwan ternakan) kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang matang bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang matang: 6 bulan) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim)

Disebabkan tiada ketentuan khusus berkenaan batasan usia, maka berlakulah perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih ialah sebagaimana berikut: Unta 5 tahun (atau lebih), lembu 2 tahun (atau lebih), kambing 1 tahun (tidak kurang darinya), dan kibas 6 bulan. (Pendapat ini dipilih oleh Syaikh al-‘Utsaimin, asy-Syarhul Mumti’, jil. 7, m/s. 460)

Beberapa bentuk haiwan yang tidak dibenarkan sebagai ibadah korban ialah yang jelas buta, sakit, cacat (tidak boleh berjalan betul), tidak bersumsum (teramat kurus/tidak berlemak), dan yang putus telinganya.

Al-Barra’ bin Azib radhiyallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah S.A.W berdiri di tengah - tengah kami dan bersabda: “Empat haiwan yang tidak boleh dijadikan korban ialah - yang jelas butanya, yang jelas sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), dan yang terlalu kurus”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dengan katanya hasan sahih)
 
 
S U R A U K I N I
Menyokong penuh usaha
 
Pusat Tahfiz Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Pusat Tahfiz Idrisiah Bagan Datoh Perak
Sekolah Islam Al Farabi Kampung Jukaing Kemboja
 
 

 
Upah Haji RM1,500.00 Insyallah sempurna 013-2791608 - layari www.suraukini.com

0 ulasan: