Setiap manusia dikurniakan dengan nikmat pancaindera yang melengkapkan sifat seseorang menjadi manusia sempurna termasuk nikmat pendengaran, penglihatan, sentuhan serta deria bau dan kebolehan untuk merasa.
Antara pelbagai deria, anugerah pendengaran adalah antara paling kerap disebut dalam al-Quran baik dari segi penciptaannya mahupun tatacara penggunaannya seperti yang dikehendaki Yang Maha Mencipta.
Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” - (Surah as-Sajdah, ayat 9)
Sesungguhnya setiap kalimah dalam ayat al-Quran itu penuh dengan makna tersurat dan tersirat. Umpamanya, kronologi disebutkan pendengaran dulu daripada penglihatan adalah suatu yang dibuktikan benar secara perubatan.
Menurut pakar anatomi manusia, Profesor Keith Moore, deria yang pertama terbentuk pada perkembangan manusia ialah pendengaran. Fetus boleh mula mendengar pada minggu ke-24. Selepas itu, deria penglihatan terbentuk dan pada minggu ke-28, yang pada waktu ini retina mula menjadi sensitif kepada cahaya.
Disebabkan itulah, apabila seseorang bayi mula dilahirkan maka stimulasi atau pendedahan pertama yang mesti diberikan ialah alunan azan dan iqamah kerana pada saat kelahiran itu sistem pendengarannya sudah pun berfungsi.
Berbanding deria penglihatan, ia memerlukan sedikit masa untuk retina (bahagian yang bertanggungjawab terhadap penangkapan imej dalam mata) dapat berfungsi dengan baik setelah mendapat rangsangan pendedahan cahaya secukupnya. Bersyukur dengan nikmat pendengaran adalah suatu yang mesti bagi seseorang hamba. Pembuktian terhadap sifat syukur itu bukan saja cukup dengan sebutan di mulut tetapi bagaimana cara kita menggunakan nikmat itu juga menjadi manifestasi tahap kesyukuran kepada Tuhan yang
meminjamkan nikmat begitu berharga.
Menunjukkan sifat menghargai atau berterima kasih terhadap sesuatu pemberian termasuklah cara bagaimana kita menggunakannya. Seseorang hamba yang bersyukur harus menjaga telinga dan pendengaran mereka meliputi kedua-dua aspek iaitu penjagaan lahiriah dan batiniah.
Penjagaan lahiriah termasuklah menjaga kebersihan telinga dengan cara yang betul, seperti tidak menggunakan pin rambut dan putik kapas untuk mengorek telinga, menjauhi sumber bunyi bising yang melampau dan mendapatkan rawatan apabila sesuatu mula dirasakan tidak kena berlaku pada telinga atau pendengaran mereka.
Daripada Ibnu Al-Harith, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Dan sebaik-baik perkara ialah secara sederhana.” - (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Mendengar radio, televisyen, berada dalam bilik atau suasana yang bingit mampu mengundang masalah kepekakan. Kajian menunjukkan bunyi yang kuat atau pendedahan kepada kebisingan berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan sel saraf pendengaran dalam koklea. Dalam kebanyakan kes, ia adalah bersifat kekal.
Justeru, jika kita bekerja di tempat mempunyai tahap kebisingan melampau seperti lapang sasar menembak, lapangan terbang atau mengendalikan jentera mengeluarkan bunyi bising, gunakanlah pelindung telinga. Kita
juga harus mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang bunyi bisingnya melebihi tahap selesa untuk telinga manusia normal mendengarnya.
Penjagaan pendengaran secara batiniah juga menggambarkan sama ada seseorang bersyukur atau tidak dengan kurniaan itu. Seperti telinga wajar dijauhi daripada sumber kebisingan, deria pendengaran juga haruslah dijaga daripada diterjah oleh kandungan bicara yang sia - sia apatah lagi perkara berunsurkan umpat keji, celaan terhadap orang lain, ungkapan berbau adu domba, tuduhan dan fitnah.
Apa yang lebih penting ialah pendengaran kita seharusnya dioptimumkan dengan sumber yang boleh mendekatkan kita kepada Ilahi. Ini kerana di sekeliling kita ada begitu banyak peluang dan punca untuk mencapai keredaan Allah.
Hanya terpulanglah kepada diri sendiri ke manakah arah kaki hendak dikemudi, sama ada ke kuliah dan tazkirah menyuci diri atau ke pusat hiburan menghabiskan waktu malam hingga ke pagi.
Firman Allah yang bermaksud: “Supaya Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan supaya diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.” - (Surah al-Haqqah, ayat 12)
Sesungguhnya, kaedah menzahirkan sifat syukur terhadap anugerah telinga dan pendengaran dinukilkan dengan jelas oleh ilmuwan yang banyak mengkaji keagungan pada penciptaan Tuhan.
Apa lebih penting, perkara berkenaan penggunaan deria ini secara berhemah dan menyeluruh juga diterangkan dan diperingatkan dengan jelas sekali dalam Al-Quran.Jelas sekali masih ramai kalangan manusia tidak menggunakan telinga untuk mendengar apa yang sepatutnya tetapi lebih berminat memasukkan
bahan yang kebanyakannya adalah hiburan bersifat sementara.
Sewajarnya, sikap ini perlu diperbetulkan kerana apa yang masuk ke dalam telinga, sekalipun ia keluar mengikut telinga kiri tetap akan dipersoalkan penggunaan pada hari akhirat nanti. Nikmat pendengaran ini terlalu besar bagi mereka yang menghargainya atau kehilangannya. Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah lagi yang hendak kamu dustakan?
0 ulasan:
Catat Ulasan