Isnin, 14 Januari 2013

Kalimah Allah tidak boleh diterjemah ke dalam mana - mana bahasa - Majlis Syura PAS



KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana - mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.

"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana - mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehendak sebenar," kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada malam Ahad.

Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah. "Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya.

"Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana - mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut."Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Nik Aziz dan Haron Din sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya. "Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.

Mesyuarat Majlis Syura PAS yang bersidang pada malam Ahad, diadakan khas bagi membincangkan mengenai isu kalimah Allah dan Amanat Hadi pada malam Ahad bermula pada pukul 9 malam dan berakhir kira - kira dua jam kemudian.







0 ulasan: