Salam,
Al Fatihah!!
Anak En Azhar Hashim 2A/7 meninggal dalam kandungan. Jenazah cukup sifat (berusia 6 Bulan. Kembar lelaki) Solat jenazah akan diadakan di Surau Ad Diniyyah selepas Solat Zohor. Kebumi lepas zohor
SK. tolong panjangkan maklumat ini. Al Fatihah
HUKUM BERKAITAN JENAZAH BAYI BERUSIA 4 BULAN - 6 BULAN
Sabda Rasululah SAW
السقط يصلى عليه ويدعى لوالديه بالمغفرة والرحمة
“Bayi yang gugur (hendaklah) disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk dua ibu-bapanya keampunan dan rahmat Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis ini ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi).
Hadis di atas adalah umum dan diperincikan oleh ulamak mengikut pandangan dan mazhab masing - masing. Menurut Imam al-‘Abdari; “Jika bayi yang keguguran itu belum berusia empat bulan, tidak wajib disolatkan ke atasnya tanpa khilaf di kalangan ulamak (yakni ijmak). Jika usianya mencapai empat bulan dan tidak bergerak (ketika gugurnya), tidak disolatkan ke atasnya mengikut pandangan jumhur ulamak. Mengikut Imam Ahmad dan Imam Daud; hendaklah disolatkan”. (Lihat; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 212)
Mengikut pandangan mazhab Syafi’ie; bayi atau janin yang lahir sebelum berusia enam bulan (di dalam kandungan), jika terdapat tanda - tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya), hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup. Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disolatkan. Jika belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.
Dalil bagi perincian mazhab Syafi’ie tersebut ialah sabda Nabi s.a.w.;
إذا استهل السقط صلى عليه وورث
“Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Jabir r.a.).
Berdasarkan hadis ini, bayi yang keguguran jika tidak terdapat tanda - tanda hidup (seperti menangis atau bersuara sebagaimana di dalam hadis) tidaklah disolatkan. Hadis ini mengikat makna umum hadis pertama di atas. Maka hadis pertama di atas jika dipadankan dengan hadis ini, maka ia memberi maksud; “Bayi yang gugur hendaklah disolatkan ke atasnya (jika ia bersuara atau terdapat tanda-tanda hidup)….”. (Lihat tafsiran hadis ini oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 4492).
Perincian hukum di atas adalah khusus bagi janin atau bayi yang berusia sebelum enam bulan sebagaimana dinyatakan. Adapun bayi yang telah berusia lebih enam bulan di dalam kandungan, hukumnya sama seperti orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan jika ia gugur atau mati ketika dilahirkan (sama ada terdapat tanda-tanda hidup atau tidak).
Tambahan;
Apa yang kita huraikan di atas adalah mengikut pandangan di kalangan ulamak - ulamak mazhab Syafi’ie. Adapun mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab lain;
- Menurut Imam Malik; bayi yang keguguran (yakni lahir tidak cukup bulan) tidak perlu disolatkan kecuali jika ada tanda-tanda hidup dan tanda itu hendaklah dalam tempoh yang panjang.
- Menurut Ibnu Umar r.a., Ibnu Sirin dan Imam Ahmad; hendaklah disolatkan ke atasnya sekalipun tidak bersuara (jika usianya telah sampai empat bulan).
Rujukan;
1. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 209-212.
2. Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 474.
3. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 264.
4. Al-Fiqhul-Islami Wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 506.
5. Matn al-Ghayah Wa at-Taqrib, ulasan oleh; Syeikh Majid al-Hamawi, hlm. 100-101.
6. Syarh Soheh Muslim, juz 9, kitab al-Janaiz, bab Tarki as-Solah ‘Ala al-Qatil Nafsahu.
Wallahu A’lam.
0 ulasan:
Catat Ulasan