Selasa, 26 Februari 2019

Hina Nabi: Pemuda PAS, Umno lapor polis


KLUANG: Dewan Pemuda PAS Johor bersama Pemuda Umno Simpang Renggam hari ini telah membuat satu laporan polis mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dua individu yang telah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Simpang Renggam, Kluang pada jam 2.26 petang tadi meminta dua individu iaitu Foo Sing Wei dan Sally Yen didakwa di atas perbuatan mereka itu.
Sebelum ini pemilik akaun 'Facebook' Foo Sing Wei yang menghina Rasulullah SAW telah ditahan dan dilepaskan dengan jaminan daripada polis.
Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Simpang Renggam, Mohd Jubli Selamat selaku pengadu berkata laporan dibuat kerana pembebasan Foo Sing Wei disyaki telah berlaku berat sebelah dan gagal melaksanakan tugas dengan adil.
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ustaz Juwahir Amin, melahirkan rasa dukacita dan sangat kecewa sikap segelintir masyarakat terus menyuarakan anti Islam dengan memperlekehkan Islam terutama menghina Nabi Muhammad SAW.
Pihaknya juga rasa sangat kecewa dengan pemimpin kerajaan sekarang yang berdiam diri dalam isu ini.
"Kita merasa sangat kecewa apabila pemimpin-pemimpin besar di peringkat kerajaan PH hari ini, terutama menteri agama dan sebagainya berdiam diri sedangkan kalau ada isu-isu berkaitan Umno dan PAS mereka awal-awal buat kenyataan dan sebagainya.
"Tapi bila isu menghina agama mereka sendiri, mereka berdiam diri. Kita khuatir takut-takut berdiam diri ini kerana takut kepada pihak yang lain atau menjaga hati pihak tertentu, pengundi-pengundi yang mengundi mereka PRU14 lalu," ujarnya.
Beliau meminta supaya kes seperti itu tidak dibiarkan atau tangguhkan sehingga hilang begitu sahaja.
Juwahir turut memberi amaran tegas akan membuat satu himpunan besar-besaran sekiranya kes itu tidak diadili dengan sebetulnya.
"Kita memberi amaran kepada pihak yang bertanggungjawab, seandainya kes seperti ini tidak diselesaikan dengan baik dan berulang lagi, pemuda PAS dan Umno tidak teragak-agak untuk membuat satu himpunan besar-besaran bagi mendesak seluruh pihak yang bertanggungjawab ditangkap dan diadili dengan seadilnya," tegasnya.
Turut hadir Ketua Pemuda Umno Simpang Renggam, Mohd Faizal Mat Said, Naib Yang Dipertua Persatuan Pegawai Masjid dan Surau Negeri Johor, Masruhim Abdul Hadi dan Setiausaha Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Mohamad Shamil Rosman. – HARAKAHDAILY 26/2/2019

K   R   I   S   T   A   L      T   A   S   N   I   M      E   N   T   E   R   P   R   I   S   E
(No Pendaftaran SSM 002118796-U)

Menyokong Penuh Usaha

Pusat Tahfiz Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Surau Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Pembinaan Kompleks Islam Al Farabi, Jor Kaeng Kemboja 
Pembinaan Surau Nurul Iman, Daerah Snoul, Wilayah Keracheh Kemboja


0 ulasan: