Isnin, 11 November 2013

50 anggota JPAM histeria - Ulik mayang ni lagu puja jin bro!!

 
Kecoh semalam 50 anggota JPAM kena histeria ketika buat persembahan kebudayaan.
 
 
Port Dickson: “Ketika asyik menari ulik mayang, seperti ada bayang - bayang di belakang dan sebaik menoleh, saya terkejut melihat beberapa kanak-kanak memakai baju berwarna-warni dengan seorang daripadanya berpakaian cantik seperti seorang puteri ikut menari.
 
“Saya menggigil ketakutan, namun meneruskan persembahan sambil berzikir sebelum tidak sedarkan diri,” kata Nazar Mohd Amin, 22, mengenai kejadian histeria dialaminya bersama hampir 50 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), ketika mengadakan persembahan kebudayaan mengikut kontinjen sempena Himpunan Pertahanan Awam Malaysia (HPAM) ke-19, di Batu 1, Jalan Pantai di sini, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, persembahan tarian ulik mayang dan kuda kepang masing-masing dipersembahkan kontinjen dari Perlis dan Selangor bertukar kecoh apabila terdapat peserta dirasuk lalu menjerit dan berlari tidak keruan selain ada yang pengsan.

Difahamkan, ketika itu, seramai 1,700 anggota JPAM dari 14 kontinjen berkumpul menyaksikan persembahan mengikut negeri dan menurut Nazar yang berasal dari Perlis, itu pengalaman pertamanya menjayakan persembahan ulik mayang.
 
“Apabila tersedar, saya sudah berada di bawah khemah dikelilingi beberapa rakan yang memberitahu kami mengalami histeria.

“Saya bersyukur kerana tak cedera atau alami kejadian lebih dahsyat,” katanya yang masih trauma ketika ditemui di tempat kejadian.

Rakannya, Nurul Ain Kasa, 25, yang baru tiga tahun menjadi anggota JPAM berkata, dia trauma apabila rakan-rakan memberitahu ketika kejadian itu mereka melihat mukanya seperti nenek yang hodoh dan menakutkan.

Menurutnya, ketika itu, 15 hingga 20 peserta mempersembahkan tarian ulik mayang di atas pentas sebelum beberapa orang rebah sambil ada menjerit dan berlari tidak keruan seperti dirasuk.

“Saya yang terkejut cuba bangun untuk lari, namun terasa seperti ada orang menarik bahu lalu terjatuh dan pengsan.

“Apabila tersedar, beberapa rakan memberitahu mereka cuba membantu, namun takut melihat wajah saya seperti nenek yang menakutkan.

“Saya paling akhir tersedar dan dipulihkan daripada histeria ini iaitu kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya.

Nurul Ain berkata, dia amat takut dan trauma kerana kejadian itu pertama kali dialaminya serta akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Noor, 22, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan dia sendiri tidak pernah mengalami dan tidak tahu puncanya.

“Waktu kejadian, saya dan rakan anggota JPAM terhibur melihat persembahan wakil kontinjen yang hadir. Saya tidak berasa apa-apa yang pelik pada mulanya sehinggalah satu ketika badan terasa panas dan pandangan berpinar.

“Selepas itu, saya tidak sedar sehingga dimaklumkan rakan saya pengsan dan rasa amat letih,” katanya.

Seorang saksi, Zulhelmi Kadirun, 26, berkata, dia sampai di tapak himpunan berkenaan kira-kira jam 9 malam dan ketika itu persembahan kebudayaan sedang berlangsung.

“Kira-kira sejam kemudian, saya terdengar jeritan dua orang yang amat mengejutkan dan seingat saya ketika itu baru selesai tarian kuda kepang.

“Keadaan jadi kelam-kabut kerana jeritan itu bersambung seorang demi seorang yang saya dapati cukup ramai.

“Mereka seperti dirasuk dan ada peserta berlari seperti mengejar sesuatu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan merangkap Sekretariat HPAM Mejar Lokman Hakim Abdul Rahman berkata, kejadian histeria itu amat mengejutkan dan pihaknya mengarahkan persembahan dihentikan serta-merta bagi mengawal keadaan dan mengubati mereka yang tidak sedarkan diri.

“Pihak sekretariat memanggil lima pengamal perubatan Islam yang berada di sekitar Port Dickson untuk memulihkan hampir 50 orang yang dirasuk sebelum keadaan kembali tenang kira-kira jam 12.30 tengah malam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Lokman, sebahagian daripada mangsa dibawa ke dalam khemah dan sebahagian lagi ke Masjid Jamek Port Dickson untuk tujuan pemulihan.
 
SK: Lagu ulik mayang ni lagu puja jin. bro ....:). Tak caya try la nyanyi lagu ni waktu maghrib dalam semak. Kalau dah start meremang bulu roma, baik stop nyanyi...
 
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning...

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala
 
S U R A U K I N I
Menyokong penuh usaha
Pusat Tahfiz Ad Diniyyah Bandar Baru Selayang Fasa 2A
Pusat Tahfiz Idrisiah Bagan Datoh Perak
Sekolah Islam Al Farabi Kampung Jukaing Kemboja
 





 
Upah Haji RM1,500.00 Insyallah sempurna 013-2791608 - layari www.suraukini.com

0 ulasan: